Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran : Ayat 104)
Kewajipan berdakwah adalah tanggungjawab besar yang menjadi tonggak utama agama dan tiang seri atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturan serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.
Berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan diperintahkan supaya hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapat keredhaan Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Menyampaikan seruan kepada perkara yang makruf dan menjauhi perkara mungkar itulah yang dinam akan dakwah kepada Allah. Dengan adanya umat Islam yang berdakwah, agama akan terus hidup dan berkembang di atas muka bumi Allah ini.
Menyedari kepentingan tugas berdakwah kepada Allah terhadap umat Islam, Sayyid Qutub dalam kitab tafsirnya Di Bawah Bayangan al-Quran menegaskan, tugas dakwah adalah satu amanah cukup getir dan besar tanggungjawabnya kerana seluruh ruang lingkup kehidupan manusia bergantung sepenuhnya kepada hasil gerak kerja dakwah yang akan menentukan hala tuju hidup manusia, maju mundurnya bangsa, jatuh bangunnya masyarakat dan bakal menentukan nasib kesudahan umat.
Apabila umat melaksanakan perintah Allah dengan berdakwah ke arah kebenaran dan keadilan Islam, maka umat tersebut telah menempa era gemilang dalam sejarah tamadun manusia. Andai umat itu melalaikan tugas dakwah, maka mereka menempah tiket kesengsaraan dan penyesalan.
Perlu ditegaskan, kewajipan berdakwah terpikul pada bahu setiap Muslim dari pelbagai lapisan dan kedudukan berdasarkan kemampuan masing-masing dalam menegakkan kebenaran serta menghapuskan kebatilan.
Contohnya, bapa sebagai ketua keluarga bertanggungjawab berdakwah kepada ahli keluarganya ke arah mencipta keluarga bahagia dan aman damai. Anggota masyarakat bertanggungjawab menyeru yang lain ke arah menjana keutuhan dan kesejahteraan hidup.
Begitu juga seorang pemimpin bertanggungjawab menyeru rakyat bekerjasama memelihara keluhuran agama, keharmonian masyarakat dan kestabilan negara dari sebarang pencerobohan musuh Islam yang cuba menghancurkan umat Islam dari segenap penjuru.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka dia hendaklah mengubah dengan tangannya; jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya; dan sekiranya dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam konteks dakwah, Allah menggariskan etika berdakwah yang baik iaitu berhemah (bersikap sopan santun, lemah lembut dan beradab dalam tindak tanduk) dan berhikmah (berdasarkan dalil-dalil dan nas-nas dari Al-Quran, hadis dan ulama’) kerana orang bukan Islam tidak tertarik dan juga tidak dapat melihat keindahan Islam jika yang digambarkan adalah kekasaran.
Bersifat santun bukan bererti tidak tegas atau menyerah kalah menurut kehendak orang bukan Islam. Bukankah Rasulullah SAW pada era permulaan dakwah Islam pernah diberikan tawaran harta benda, pangkat kedudukan dan wanita oleh Musyrikin Makkah supaya meninggalkan dakwahnya.
Namun, Rasulullah tetap istiqamah dan tegas dengan dakwahnya menyeru kepada keadilan dan keindahan Islam. Oleh itu, setiap Muslim perlu insaf, menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing memikul amanah dakwah Islam.
Kecuaian melaksanakan amanah dakwah Islam hanya mengundang kemurkaan Allah dan akhirnya umat Islam sendiri akan menerima akibat dan kesengsaraan yang tiada penghujungnya.
0 comments:
Post a Comment