Pages

Tuesday, March 01, 2011

Hari 'Arafah...Kisah Cinta yang Diabadikan Allah

'Arafah berasal dari perkataan arab, 'arafa yang bermaksud kenal. Hari 'Arafah boleh diertikan sebagai hari perkenalan atau ta'aruf. Hari 'Arafah lebih signifikan buat para jemaah haji kerana ia melibatkan rukun haji yang kedua iaitu wuquf di 'Arafah. Wuquf di 'Arafah bermaksud berhenti seketika di 'Arafah antara waktu Zuhur 9 Dzulhijjah hingga terbit fajar hari Nahr iaitu 10 Dzulhijjah. 'Arafah adalah sebuah padang yang terletak di luar Tanah Haram dan jauhnya dari Mekah lebih kurang 12 batu atau 18 kilometer. Masa yang terbaik untuk berwuquf adalah antara sebahagian dari hari kesembilan hingga sebahagian malam kesepuluh Dzulhijjah sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi s.a.w yang bermaksud : "Barangsiapa yang berada di 'Arafah sebelum terbit fajar pada hari yang kesepluh Dzulhijjah, maka dapatlah haji itu."

Kisah Cinta yang Diabadikan Allah

9 Dzulhijjah dinamakan sebagai hari 'Arafah sebagai simblik kepada tarikh Nabi Adam a.s. 'diperkenalkan' (dipertemukan) semula dengan Siti Hawa a.s. setelah terpisah selama dua ratus tahun. Pertemuan tersebut berlaku di tempat yang bernama Jabal (bukit) Rahmah. Tarikh ini juga menjadi saksi pertemuan antara Nabi Ibrahim a.s. dengan anaknya Nabi Ismail a.s. dan isterinya Siti Hajar setelah kedua mereka ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir sehinggalah anaknya Ismail meningkat dewasa.
Jabal (bukit) Rahmah, dipuncak bukit inilah Nabi Adam a.s detemukan semula dengan isterinya Siti Hawa a.s setelah dipisahkan selama 200 tahun

Dua kisah cinta yang digabungkan pada satu tarikh, diabadikan oleh Ilahi sebagai pedoman buat seluruh umat Islam. Kisah ini sememangnya jauh lebih tragis dari cerita-cerita cinta yang sering diagung-agungkan masyarakat kini. Namun, masyarakat Islam hari ini lebih mengingati tanggal 14 Februari yang dianggap sebagai Hari Kekasih berbanding tanggal 9 Dzulhijjah yang sebenarnya jauh lebih layak untuk digelarkan sebagai Hari Kekasih buat seluruh umat Islam. Bukan sekadar pengabadian kepada sebuah kisah cinta, pada tarikh ini juga Allah menawarkan 'mega sale' buat seluruh hamba-hambanya bermula seawal 1 Dzulhijjah sehingga hari ke-9 Dzulhijjah yang boleh dianggap sebagai hari kemuncak. Namun, berapa ramaikah di antara kita hari ini yang mengamati ruh di sebalik Hari 'Arafah?

Berbalik kepada sirah, terdapat 2 peristiwa besar yang telah diabadikan Allah pada tarikh ini. Kedua-duanya melibatkan kisah cinta antara dua pasangan suami isteri yang menggambarkan kesetiaan antara suami dan isteri dalam perjalanan mengejar redha Ilahi. Daripada kedua-dua kisah ini, saya ingin lebih menumpukan pada kisah pertama melibatkan pertemuan antara Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa a.s memandangkan peristiwa yang berlaku sebelumnya cukup signifikan sebagai suatu peringatan yang cukup jelas buat seluruh umat Islam.

Merujuk kepada analogi peristiwa yang telah diabadikan oleh Allah di dalam surah Al-A'raf bermula dari ayat 10 hingga ayat 25 diikuti dengan ayat-ayat yang seterusnya berupa peringatan khusus dari Allah buat seluruh anak cucu keturunan Nabi Adam. Antara surah yang paling meruntun hati dan seringkali saya bacakan setiap kali mengimami solat fardhu sebagai peringatan untuk diri sendiri dan buat semua makmum yang sama-sama mengikuti solat di sisi saya dengan harapan agar ruh Al-A'raf mengalir ke dalam jiwa-jiwa mereka. Al-A'raf mengingatkan kita pada sumpahan iblis di hadapan Allah untuk menggoda setiap keturunan Nabi Adam a.s. selain turut mengabadikan kejayaan iblis yang pertama sehingga membawa kepada pengusiran Nabi Adam a.s. dan isterinya Siti Hawa dari syurga.
Hari 'Arafah seharusnya menjadi hari peringatan buat semua umat Islam akan musuh sebenar mereka, iaitu iblis yang tidak pernah berputus asa untuk menghasut anak cucu keturunan Nabi Adam a.s. seperti mana yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Iblis berkata, kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus. Kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari hadapan, dari belakang, dari kiri dan dari kanan mereka, dan Engkau tidak aka mendapati kebanyakan mereka bersyukur. (Allah) berfirman, keluarlah kamu dari sana (syurga) dalam keadaan terhina dan terusir! Seungguhnya barangsiapa di antara mereka yang mengikutimu, pasti akan Aku isi neraka Jahannam dengan kamu semua." (Al-A'raf:16-18)
Dialog ini turut dirakamkan di dalam surah yang lain yang bermaksud:
"Ia (iblis) berkata: Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi dan aku akan menyesatkan bagi mereka kesemuanya. Kecuali hamba-hambaMu di antara mereka yang ikhlas." (Al-Hijr:39-40)
Oleh kerana itu, Hari 'Arafah adalah hari yang terbaik bagi umat Islam untk bermuhasabah diri, menganalisa kembali amalan-amalan yang telah dilakukan, apakah mungkin kita tergolong di kalangan orang-orang yang telah terperangkap dengan tipu daya iblis? Atau, adakah kita sudah tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang ikhlas? Yang telah disebut oleh iblis sebagai orang yang selamat dari tipu helahnya.
'Mega sale' dari Allah di Hari 'Arafah
Menyelami ruh Hari 'Arafah buat mereka yang tidak pergi menunaikan haji. Berikut adalah keistimewaan Hari 'Arafah berdasarkan kepada hadith-hadith Nabi s.a.w:-
1. Hari Maghfirah ( keampunan)

Bagi mereka yang tidak menunaikan haji, adalah sangat dituntut untuk berpuasa di Hari 'Arafah berdasarkan kepada hadith Nabi s.a.w, "Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? maka jawab Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Dikaffarah(ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang."

Di dalam riwayat lain Nabi s.a.w bersabda:

صيام يوم عرفة إني أحتسب على الله تعالى أن يُكفِّر السنة التي بعده والسنة التي قبله
"Puasa hari Arafah, sesunguhnya aku berharap Allah swt agar menghapuskan dosa setahun yang lepasnya dan tahun yang sebelumnya" - [Hadith riwayat Tirmudzi].

Antara hadith lain, Habsah pernah berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah meninggalkan pusa 9 Dzulhijjah, bahkan baginda pernah menyebut: "Tidak ada hari yang paling mulia yang dituntut umatku berpuasa melainkan puasa bulan Ramadhan dan puasa pada 9 Dzulhijjah."

Jumhur ulama mengatakan bahawa adalah mustahab berpuasa bagi mereka yang bukan jemaah Haji dan tidak digalakkan bagi mereka yang sedang menunaikan haji berdasarkan kepada hadith dari Umm Fadhil (isteri al-Abbas):

أنهم شكوا في صوم النبي صلى الله عليه وسلم يوم عرفة، فأرسلت إليه بلبن، فشرب، وهو يخطب الناس بعرفة

Maksudnya;
"Bahawa mereka ragu akan puasa Nabi saw pada hari Arafah, maka dikirim kepada baginda susu lalu (baginda) meminumnya, dan beliau sedang berkhutbah di Arafah" - (Hadith riwayat Muttafaqun 'alaih)

Ia menunjukkan tidak disukai (tidak digalakkan) berpuasa bagi mereka yang berwuquf disaat yang agung ini, dan hikmah tidak berpuasa kerana kemungkinan akan melemahkan mereka dari melakukan zikir dan do'a, dan melakukan amalan-amalan haji.
2. Musatajab do'a

Daripada Sayyidatina 'Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiada daripada hari yang lebih ramai dibebaskan Allah hamba-hambaNya dari api neraka melainkan pada Hari 'Arafah, dan sesungguhnya Dia mengasihani dan bangga di hadapan malaikat sambil bertanya: Apakah yang dikehendaki oleh mereka itu?"
(Hadith riwayat Muslim, Nasa'i, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Darqatni, Hakim dan Al-Baihaqi)

Allah mendengar doa hamba-hambaNya dan memakbulkan doa-doa mereka yang memuliakan hari 'Arafah. Oleh itu, mintalah apa sahaja daripada Allah.

3. Terlepas daripada seksaan neraka

Daripada Jabir bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila tiba Hari 'Arafah maka sesungguhnya Allah telah memuji dengan para malaikat dan berfirman: "Lihatlah kepada hamba-hambaKu yang telah datang kepadaKu dengan berdebu dalam keadaan berduyun-duyun daripada setiap pelusuk, Aku bersaksi di hadapa kamu (malaikat) bahawa Aku telah mengampuni mereka." Maka kata malikat: Sesungguhnya ada di kalangan mereka yang telah pun baligh. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka." Sabda Rasulullah s.a.w: "Maka tiada daripada hari lebih ramai orang yang bebas daripada neraka daripada Hari 'Arafah."
(Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

4. Turunnya rahmat Allah

Nabi s.a.w pernah menyatakan, hari 'Arafah adlah hari yang palig dibenci oleh syaitan. Syaitan-syaita akan menjadi lemah kerana besar dan luasnya rahmat yang Allah turunkan untuk sekalian ahmba-hambaNya yang beramal soleh.
Hari dibukanya pintu langit, dilimpahkan kerahmatan, dan dibukanya pintu penerimaan yang seluas-luasnya oleh Allah untuk hambaNya. Tidak ada hari yang lebih banyak rahmat dan berkat, lebih terang cahayanya serta lebih luas penerimaan dari Allah selain dari hari itu. Tidak ada waktu syaitan menjadi terlebih keji, terlampau hina, tersangat kecewa dari hari-hari tersebut kerana kurniaan yang sangat agung dari Allah Ta'ala terhadap hambaNya.

Demikianlah, besarnya makna 9 Dzulhijjah buat hamba-hamba Allah yang benar-benar menghayatinya. Sebuah kisah cinta dua insan yang diabadikan oleh Allah dan di hari itu juga Dia hadir untuk melimpahkan cintaNya buat seluruh hamba-hambaNya sama ada yang pergi menunaikan haji atau pun tidak. Namun, kebanyakan daripada kita hanya melihat hari 'Arafah sebagai ahri yang hanya signifkan buat jemaah haji semata-mata tanpa cuba untuk menyelami ruh haji bagi yang tidak perhi menunaikan haji. Semoga kita termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba melakukan amal kebajikan.

Sama-samalah kita bermujahadah mendapatkan kelebihan hari 'Arafah pada 9 Dzulhijjah bersamaan hari Selasa, 16 November 2010. Mudah-mudahan kita tergolog di kalangan orang-orang yang beruntung...Fastabiqul khairat...
sumber :
Sini

0 comments:

Post a Comment