Pages

Saturday, April 16, 2011

Lebih 10 ribu turun ceramah. Jalan sesak 10 KM. Mengeletar rejim Taib



KEMPEN fasa pertama bagi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak telah selesai 11 April lalu, dengan kempen agak tidak agresif membabitkan seluruh parti kecuali DAP yang menguasai kawasan bandar. Namun, meskipun kempen fasa pertama tidak hangat, bahang kemarahan dan perubahan yang dijana rakyat ‘secara senyap’ mula meluap di awal pusingan kedua kempen bermula 12 April.

Himpunan-himpunan yang diaturkan Pakatan Rakyat terutama DAP, PAS dan KeADILan di kawasan Bandar Kuching, seperti di Batu Kawa pada 11 April lalu cukup mendebarkan jantung Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Kehadiran lebih 10,000 warga Sarawak dengan kesesakan lalu lintas sepanjang 10 kilometer dari Bandar Kuching menuju Batu Kawa cukup untuk menceritakan bahawa gelombang kebangkitan rakyat semakin dirasai.

Kempen dan ceramah yang diadakan membabitkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di beberapa tempat, selain kempen Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak awal, dan kehadiran Lim Guan Eng membantu kempen menampakkan lagi kemarahan rakyat.

Namun yang mencuri tumpuan, kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkampung di sini selama lima hari memberikan ‘signal’ bahawa BN sebenarnya tertekan dengan gelombang kebangkitan rakyat Sarawak.

Datangnya Najib dengan pengumuman kononnya sudah ada pelan peralihan kuasa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan penggantinya sebaik selesai pilihan raya tidak meyakinkan rakyat.

Telahan itu benar kerana sebaik pengumuman itu, Taib Mahmud sendiri mengesahkan ianya bukan dalam keadaan segera selepas pilihan raya, sebaliknya mengambil masa beberapa tahun selepas pilihan raya. Najib mungkin tanpa sedar, Taib Mahmud juga memiliki pelan politiknya yang tersendiri memandangkan beliau cukup lama berada di Sarawak, menjajah Bumi Kenyalang bagai ‘Raja Brooks’ versi Melayu-Melanau.

Telahan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali dalam analisis awalnya, bahawa keyakinan dan perubahan ‘mood’ rakyat semakin jelas kelihatan untuk menolak kerajaan BN-PBB Sarawak. Kebangkitan ini tidak terjangka oleh BN, sama ada Najib, Muhyiddin mahupun Taib Mahmud sendiri.

Kemarahan rakyat yang telah terpendam lama sejak 48 tahun lalu memberikan peluang besar buat Pakatan Rakyat yang masuk dengan pasukan yang mantap menghadapi BN di Sarawak.

Sementara kemelut dalaman pimpinan-pimpinan BN di Sarawak, serta pergeseran antara Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mampu diselindungkan.

Sama ada kehadiran Najib lima hari berkempen di Sarawak juga membawa tanda bahawa Pengerusi BN itu sebenarnya tidak lagi yakin dengan kemampuan Taib Mahmud, mahupun Muhyiddin untuk mempertahankan Sarawak.

Najib sebenarnya sedang bertarung secara dalaman dengan Muhyiddin-Taib Mahmud yang semakin menjadi ‘liabiliti’ kepada beliau dalam mengekalkan jawatan Perdana Menteri.

Sementara, jika berjaya mengekalkan kemenangan BN di Sarawak 16 April ini, Najib akan menjadi wira yang didendangkan untuk meletakkan langkahnya setapak ke hadapan berbanding pesaingnya, Muhyiddin.

Selain itu kedudukan Taib Mahmud, jika Najib berjaya dalam pelannya mungkin seperti telur di hujung tanduk memandangkan, Najib akan membuka pekung bagaimana resepinya berkempen menerajui sebarang kejayaan.

Cuma Najib lupa, kemarahan dan gelombang kebangkitan rakyat tidak mampu dihalang dengan kempen lima harinya, dan dalam perubahan itu, pastinya Muhyiddin memiliki pelan tersendiri jika kempen Najib di Sarawak menemui keputusan negatif.

Muhyiddin tidak akan menonjolkan dirinya selagi mana beliau berada di kerusi nombor dua, di belakang Najib untuk duduk di kerusi nombor satu dengan sebarang kemungkinan percaturan yang dibuat.

Sebarang keputusan PRN Sarawak akan menjejaskan pelan politik kedua-dua (Najib-Muhyidin) tokoh ini, selain kedudukan Taib Mahmud yang semakin samar dengan pelan peralihan kuasa yang langsung tidak menampakkan keputusan
penamat.

Kebangkitan rakyat melalui isu tanah adat, kekayaan Taib Mahmud, kegilaan memiliki harta rakyat, dan masalah kemiskinan melampau di Sarawak boleh menghukum BN-PBB di sini.

Namun, terdapat kebimbangan jika kebangkitan itu nanti disekat dengan taktik kotor BN melalui jenteranya, mahupun agensi kerajaan yang akan diperalat di saat akhir, termasuk dengan kaedah ugutan serta politik wang!

Peringatan Mustafa Ali ada asasnya, bahawa kebangkitan rakyat Sarawak harus dikekalkan momentumnya, dengan jentera Pakatan Rakyat harus memperkemaskan kempen mempertahankan gelombang itu daripada luntur.

Sebarang kemungkinan saat-saat akhir boleh berlaku, namun api kemarahan rakyat mungkin tidak akan terubat hanya dengan ‘gula-gula’ pilihan raya, kerana rakyat mulai sedar, kesungguhan BN berkempen hanya untuk terus menguasai harta dan kekayaan ‘Bumi Kenyalang’.

0 comments:

Post a Comment