SEKUTU SYAITAN.
Ahli maksiat bermakna orang yang gemar melakukan perbuatan yang dibenci dan dimurkai oleh Allah swt. Golongan ini dilabelkan sebagai sekutu syaitan dan hidup dalam gemerlap syaitan.
Walaupun golongan ini hidup mewah semasa di dunia,namun pada akhirnya golongan ini akan menghadapi hari yang amat perih di hari perhimpunan di padang Mahsyar yang penuh debaran dan menggetarkan.
Apabila manusia dibangkitkan dari alam kubur di padang Mahsyar yang sangat luas,masing masing dalam keadaan tanpa pakaian walau seurat benang. Apakah mereka tidak merasa malu dalam keadaan sedemikian,bersesak sesak lelaki dan perempuan?
Siti Saudah,isteri Rasulullah saw bertanya kepada baginda,"Ya Rasulullah,tidakkah manusia merasa malu apabila mereka dihimpunkan di bumi Mahsyar dalam keadaan telanjang tanpa pakaian?" Rasulullah saw menjawab,
"Justeru dalam keadaan terlalu gawat menghadapi hari Mahsyar itu,manusia terlupa dirinya tidak berpakaian kerana memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan diri masing-masing."
Lalu Rasulullah saw membacakan firman Allah di dalam Surah Al-'Abasa ayat 37 yang bermaksud,
"Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya."
SELURUH AURAT TERDEDAH.
Imam Al-Ghazali ketika mengulas mengenai suasana hari kebangkitan itu menyatakan,"Alangkah dahsyatnya apabila kita berdepan dengan hari yang seluruh aurat kita terdedah. Walaupun terdedah namun manusia tidak mengambil peduli lagi kerana ketika itu manusia dibangkitkan dengan berbagai cara. Ada yang berjalan dengan perutnya dan ada pula yang berdiri dengan mukanya terbalik ke bawah dan kakinya di atas."
Abu Hurairah r.a. berkata bahawa beliau telah mendengar suatu hari Rasulullah saw berucap di hadapan para sahabat dengan sabdanya yang bermaksud,
"Manusia di akhirat kelak akan dikumpul dalam tiga bentuk. Sekumpulan manusia,sebaik sahaja dibangkitkan di bumi Mahsyar,sudah tersedia kenderaan untuk mereka. Sekumpulan lagi dibangkitkan dengan berjalan kaki. Sementara satu kumpulan lagi dengan mukanya tertonggeng ke tanah."
Seorang sahabat bertanya kepada Nabi saw,"Bagaimanakah caranya manusia berjalan dengan menonggeng mukanya ke tanah?
Maka Nabi saw menjawab,"Allah swt yang berkuasa mencipta hamba-Nya berjalan dengan kaki dan Allah jua yang berkuasa menciptakan hamba-Nya berjalan dengan mukanya ke tanah."
Mereka yang mendapat naungan itu di antaranya ialah golongan Al-Muqarrabun iaitu orang yang dekat dengan Allah swt. Sifat sifat golongan ini tidak lain ialah mereka yang semasa hidup di dunia sentiasa mendampingi Allah swt. Mereka sentiasa patuh dan taat suruhan Allah,dengan melakukan apa jua perintah-Nya yang disampaikan oleh para Rasul di zaman mereka,serta meninggalkan setiap perkara yang dibenci oleh Allah,dari maksiat yang keji dan mungkar,sama ada dalam soal aqidah dan juga syariah.
DIDERA KEPANASAN.
Seterusnya,Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa ada golongan yang dijemput oleh Allah swt untuk bernaung di bawah 'Arasy Allah. Sebaliknya,ada pula golongan manusia yang terus didera terdedah dengan kepanasan matahari di atas ubun-ubun.
Mereka yang didera dengan kepanasan itu hancur luluh oleh panahan matahari yang amat dahsyat dan dileburkan oleh kepanasan hati mereka sendiri yang mengutuk dirinya kerana menghadapi hari malang disebabkan maksiat mereka semasa hidup di dunia dahulu.
Dalam kepanasan yang amat dahsyat itu,manusia berhimpitan dan bertolakan,dan dalam suasana demikian,Allah swt mendedahkan segala buruk mereka yang telah dicatat dalam satu rekod kejahatan,dihimpun dalam sistem rakaman Allah yang tidak tercicir walau sedikitpun.
Maka alangkah tebalnya muka mereka kerana menanggung malu yang tidak terhingga,melihat pameran dosa-dosa dan kezaliman mereka di dunia. Peluh dan air mata mengalir sehingga membanjiri menelenggami manusia,ada yang sampai ke paras lutut,paras pinggang,paras hidung dan ada juga yang lemas di dalam lautan tersebut.
Demikianlah azab yang menanti mereka yang ingkar pada perintah Allah swt. Belum lagi azab di neraka yang tidak terbayang pedihnya. Benarlah janji Allah swt yang Maha Benar dan Maha Adil.
Sama samalah kita renungkan,semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang disebutkan di atas. Hanya sekutu syaitan yang Allah swt telah janjikan azab sedemikian,mudah mudahan kita tergolong dalam golongan yang bersekutu dengan para Rasul,sahabat sahabat,anbia dan penegak syiar Islam,amin ya Rabbal Alamin.
0 comments:
Post a Comment