Keutuhan sesebuah tali persahabatan terjamin dek ketaatan kepada ALLAh.
Persahabatan itu ibarat ingin menyeberang ke seberang untuk pergi ke suatu tempat yang dimana disitu ada ketenangan jiwa dan kebahagiaan. Dan untuk pergi ke seberang itu, seseorang memerlukan alat atau laluan khas untuknya.
Bagi saya, itu adalah jambatan kasih.
Sebuah ‘jambatan’ khas yang akan membolehkan seseorang itu pergi ke suatu tempat. Dan ditempat itu akan beroleh ketenangan dan kebahagiaan dan berjumpa dengan apa yang diingini. Sebuah jambatan yang apabila dijaga dengan baik, maka baiklah kehidupan dan sesebuah tempat itu. Dan apabila jambatan itu tidak dijaga dengan baik, maka terputuslah hubungannya dan tidak dapat menyeberang lagi ke seberang.
Membina Jambatan Kasih Bersama
Sesebuah persahabatan itu, apatah lagi persahabatan yang telah terbina untuk mencari keredhaan ALLAh, tidak akan bahagia dan berjaya apabila sebelah pihak sahaja yang berusaha untuk menyerikan dan menyemai cinta Ilahi. Jika begitu, kejadiannya akan tempang.
Bagi saya, ada dua jenis persahabatan. Pertama, persahabatan yang terbina kerana dunia. Kedua, persahabatan yang terbina kerana dunia, dan juga akhirat.
Persahabatan kerana dunia itu, boleh menjadi persahabatan yang sejati. Tetapi sejatinya, hanya berada di dunia sahaja. Persahabatan yang terjalin hanya untuk dunia. Manakala persahabatan jenis kedua adalah persahabatan yang terjalin di dunia dan berusaha bersama-sama menjaga jambatan kasih untuk digunakan di akhirat sana.
Jambatan Kasih – Ketaatan Sebagai Seorang Hamba.
Dalam sesebuah persahabatan fillah, ada yang menghubungkannya, iaitu ALLAh Ta’ala. Dan jika ada diantara anda mengaku bersahabat kerana ALLAh, maka anda sepatutnya bersama-sama bersama sahabat anda untuk menjaga Haq ALLAh!
Sejauh mana tingkat zikir, ibadah, saling memperingati akan akhirat, saling mengkoreksi diri terhadap ketaatan kepada ALLAh Ta’ala, dan dakwah di jalan-Nya yang memenuhi nuansa persahabatan, maka sejauh itulah eratnya persahabatan dan jalinan cinta yang terjalin diantara kedua-dua individu tersebut.
Manusia yang bersahabat dan saling memperingati serta menjaga dan memperkukuhkan hubungan dengan ALLAh Ta’ala, maka ALLAh Ta’ala pun akan menjaga persahabatan mereka dan mengikat hati-hati mereka dengan Tali-Nya!
MashaAllah. Tabarakallah~
‘Jambatan Kasih’ itu tidak akan berjaya dibina oleh seorang individu andai individu lain yang sepatutnya turut membina dan menjaganya melepaskan tanggungjawabnya dengan begitu sahaja. Apa yang pentingnya adalah, kerjasama diantara kedua-duanya!
Percaya tidak kalau saya katakan, andai seseorang itu hubungannya dengan ALLAh Ta’ala ada masalah. Maka hubungannya juga bermasalah dengan manusia lain, termasuklah sahabatnya.
Persahabatan yang tiada peringatan demi peringatan mengenai hidup dan akhirat, maka akan ada suatu kegersangan disitu. Percaya? Terpulang kepada anda.
Senyum.
Persahabatan Yang Menjadi Gersang
Saya sangat percaya. Hubungan persahabatan yang kering dari makna-makna zikir, ibadah, saling menasihati, memperingati perihal akhirat dan mendorong semangat dakwah, maka kegersangan ukhuwwah akan semakin terasa. Lalu akan timbul pelbagai masalah hati; prasangka. Prasangka yang hanya membawa kesusahan kepada diri masing-masing.
Persahabatan yang gersang akan membuatkan hati bertambah sakit dan cepat bosan. Seterusnya, seseorang itu akan senang kepada benda-benda yang lagho dan tidak menjaga hak persahabatan dan hak ALLAh. Dan perbuatan itu hanya akan membuka pintu kerosakan dan perselisihan. Dan akhirnya terciptalah dosa sebagai dinding pemisah jarak yang hanya akan memburaikan ikatan ukhuwah. Kesan daripada itu, terpisahlah dua sahabat kerana hal yang tidak sepatutnya.
Ada sebuah hadis Rasulullah SAW,MashaAllah~
“Tidaklah dua orang yang saling berkasih-sayang kerana Allah berpisah, kecuali disebabkan oleh dosa yang dilakukan oleh salah seorang diantara keduanya.” – HR. Bukhari & Ahmad
Membina jambatan kasih, perlu ada kerjasama, aite?
Perpisahan antara dua sahabat, ataupun masalah yang terjadi sepanjang tempoh tersebut, boleh jadi kerana teguran dari ALLAh Ta’ala. Masa itu, beruntung bagi yang membuka mata hatinya. Dan sangat rugi bagi orang yang apabila telah berpisah dengan sahabat yang pernah disayanginya, maka dia memburuk-burukkan lagi sahabat itu.
Moga-moga, diantara kita, tiada perpisahan yang berlaku. Dan kalau pun ada perpisahan, biarlah perpisahan itu kerana gugurnya salah seorang di medan dakwah.
Subhanallah~
Saya kira, kelebihan hubungan ukhuwah yang terjalin kerana ALLAh adalah kerana didalamnya masing-masing sentiasa mengingatkan mengenai masalah diri dan ummah serta hari akhirat. Dengan cara itu, masing-masing akan terdorong untuk melakukan ketaatan agar dipandang oleh ALLAh dengan pandangan rahmat. Dengan harapan, moga anda dan sahabat anda tidak hanya bersama di dunia.
Malah bersama sehingga di akhirat sana.
Jambatan Cinta Imani Bersama Sahabat
Seorang sahabat yang sudi menerima diri anda seadanya, seseorang yang sentiasa mengingatkan anda dengan hari akhir dunia, seseorang yang mungkin mendoakan anda disetiap akhir solatnya, dan seseorang yang mencintai anda kerana ALLAh memang sangat membahagiakan.
Tetapi kebahagiaan itu tidak akan bertahan seandainya hanya sebelah pihak sahaja yang berusaha untuk sentiasa memperbaiki diri dan menyerikan persahabatan.
Saya dan anda juga perlu memainkan peranan tersendiri. Kita sama-sama berusaha untuk menjaga apa yang perlu dijaga. Hubungan dengan ALLAh, dengan kedua orang tua, dan InshaAllah, ALLAh juga akan menjaga hubungan kita dengan manusia lain, termasuklah sahabat kita.
Seseorang yang berusaha mencintai seorang sahabat kerana ALLAh, akan membawa ketenteraman dan kedamaian dihati, malah tanpa disedari akan mendorong untuk taat dan mendekatkan diri kepada ALLAh Ta’ala.
Dan persahabatan sebegitu akan bertambah kukuh kecintaannya dengan ketaatan sahabatnya. Tetapi akan berkurang kerana kelalaiannya. Tiada yang mustahil kan.
Sebab, hati manusia ini ALLAh yang pegang. Maka ALLAh berhak ke atasnya!
Setiap cinta di dunia, haruslah dipaksikan kerana cinta ALLAh. Begitu juga dengan persahabatan. InshaAllah, moga perlindungan ALLAh Ta’ala akan bersamanya.
Kata orang, sahabat yang baik adalah apabila anda memandangnya, maka anda teringat kepada ALLAh. Apabila anda mendengar ucapannya, maka hati anda tersentuh mengingati-Nya. Subhanallah~ Bertuah punya sahabat seperti ini.
Jika diizinkan, sahabat seperti itulah yang saya ingin menjadi.
Saya percaya, anda semua yang membaca ini adalah seorang sahabat yang baik. Bertuah sahabat anda punya sahabat seperti anda. Moga anda dan sahabat-sahabat anda diberkati di dunia dan akhirat.
Persahabatan yang dibina kerana ALLAh itu tidak akan pernah sunyi dari dugaan dan ujian. Maka, bersiap siagalah dengan fikiran yang waras dan senjata pertahanan keimanan dihati. Ujian akan datang dengan pelbagai bentuk.
Tidak layak menjadi seorang sahabat yang baik?
Hei. Pssst! Sahabat, janganlah begitu. Saya juga sedang berusaha sebenarnya. Dan tidak salah untuk kita sama-sama berusaha kan? *kenyitmatakepadakamu*
Psst! Jom sama-sama bina Jambatan Kasih Persahabatan! *senyumbahagia*
Semoga ALLAh merahmati.
0 comments:
Post a Comment