Pages

Wednesday, May 11, 2011

Kebangkitan ruh : Leburkan kebekuan jiwa


Al-Quran, ayat-ayat cinta Allah SWT yang disetiap helaiannya dan intipatinya mempunyai 1000 keistimewaan, kekuatan dan keunggulan. Tidakkah kita menyedari hakikat ini?
Kebangkitan Ruh :  Leburkan kebekuan jiwa!
Oleh : BroHamzah

“ Orang mukmin itu, ia sangat merindui suasana iman dan ukhuwah. Dan, merekalah yang benar-benar berusaha untuk menghidupkan dan membinanya.”
Kata-kata ini masih segar di dalam minda dan jiwa saya. Kata-kata seorang abang senior yang banyak membantu dalam proses pentarbiyahan diri saya mengenali, mendekati, mencintai dan merindui Allah SWT.
Saya benar-benar merindui suatu yang menyejukan dan menenangkan. Suasana yang menyimbahkan nurani ini dengan simbahan keimanan, keyakinan dan kepasrahan kepada Allah SWT.
Saban minggu, pertemuan dan perjumpaan sesama teman-teman dan sahabat-sahabat benar-benar merawat, menyembuhkan dan melegakan jiwa yang dahagakan sentuhan berbentuk kejiwaan dan keruhanian. Benar, pengisian ruh sangat-sangat mendesak dan ia adalah antara yang terpenting. Bimbang  jika perkara ini terabai, hati akan mati.
Orang soleh ada berkata :
“ Sungguh kami sangat-sangat hairan terhadap manusia, mereka menangisi matinya badan, tetapi mereka tidak pernah menangisi matinya hati, apahal kematian hati lebih jauh buruk akibatnya.”
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Dan Kami turunkan dari Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
( Al-Isra (17) : 82)
Setiap kali bertemu, kami memulakan ia dengan mendengar dan memperdengarkan lantunan ayat-ayat cinta daripada Allah SWT. Terasa akan getaran bacaan-bacaan yang mengandungi seribu makna, nasihat dan segala-galanya -  membuatkan kami  tertunduk khusyuk, kagum dan puas dengan ayat-ayat Allah SWT. Benar, ia mengesani hati yang lara.
Uthman bin Affan RA berkata :
“ Sekiranya hatimu itu suci, nescaya tidak akan kenyang (puas) dari firman Rabb-mu ( Al-Quran).”
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang ada) dalam dada.”
( Yunus (10) : 57)
MasyaAllah, terhibur dan rasa selesa dengan lantunan ayat-ayat suci daripada Allah SWT. Terasa dekat, akrab dan hampir dengan Allah SWT. Keharumannya tersebar di udara yang kami hirup dan ia benar-benar membangkitkan jiwa-jiwa kami.
Itulah istimewanya ayat-ayat cinta daripada Allah SWT.
Al-Quranul Karim.
Kami, sentiasa menyimpulkan bahawa pertemuan mingguan kami harus sebegini. Dimulakan dengan ayat-ayat Allah SWT. Bahkan , murabbi tidak pernah jemu-jemu menyebut bahawa – setiap hari hati kami perlu ditadahkan dengan kalamullah. Tidak pengecualian. Ia kena dan mesti!
Inilah asas kepada kebangkitan ruh!
Keupayaan hati yang sentiasa beriman, menyakini, mencintai, merindui dan sangat-sangat berhajatan untuk mendekati dan sayang kepada Allah SWT.
Ketika Rasulullah SAW menggerakan jiwa-jiwa dan menyentuh hati-hati manusia dengan sentuhan keimanan, perkara yang pertama dilaksanakan oleh baginda ialah membangkitkan ruh manusia. Ia nantinya akan menentukan kemunculan, pertumbuhan dan penyebarannya dakwah di muka bumi ini.
Perkara pertama yang diwar-warkan, dicanang-canangkan dan ditekankan dalam proses islah, tarbiyah dan dakwah ialah kebangkitan ruh, hati yang hidup dan ketajaman nurani.
Melaluinya kita akan dapat  :
Membangunkan jiwa-jiwa yang hidup, kuat dan teguh. Bahkan akan lahirnya jiwa-jiwa yang kental dan tahan diuji.
Hati-hati yang segar dan memiliki semangat yang berkobar-kobar sentiasa inginkan kebaikan dan kebenaran mewarnai kehidupan
Jiwa-jiwa yang tidak pernah berputus asa dan sentiasa merindukan tercapainya cita-cita Islami serta sentiasa bekerja keras dalam usaha-usaha menuju ke sana.
Ibnu Mas’ud RA berkata :
“ Siapa yang ingin mengerti bahawa ia benar-benar mencintai Allah, maka hendaklah kepadanya dihadapkan Al-Quran. Jika ia mencintai Al-Quran bererti ia mencintai Allah kerana sesungguhnya Al-Quran adalah firman Allah SWT.”
Kebekuan jiwa
Tanpa ruh yang hidup, segar dan sentiasa bergelora. Jiwa-jiwa kita akan mengucup, layu dan lemah. Malah ruh himmah yang seharus sentiasa dibakar dan dijulang-julang akan turut malap dan akan terus terpadam. Justeru, apakah antara punca dan penyebab yang mematikan hati-hati kita?
Sembang-sembang saya dengan rakan-rakan, adik-adik dan para pelajar ada sesuatu yang menyebabkan mereka sentiasa terlalai, tersangkut dan terbantut proses perubahan diri mereka. Perkara yang membebani dan menghantui mereka dalam kehidupan seharian. Apakah perkara itu?
Kemalasan.
Ya. Sifat malas.
Saya sangat-sangat yakin, kita semua pernah, biasa, sedang dan akan terkena penyakit ini.
Kemalasan yang mengikat jiwa dan mengunci perasaan untuk bergerak. Inilah kebekuan yang mencengkam sesiapa sahaja, tidak kira siapa pun dia. Kemalasan yang menumpulkan kepekaan jiwa, melenyapkan semangat yang membara, mengeraskan hati dan mengeruhkan perasaan yang bertenaga. Malah, kita akan berada ditakat lama, jumud, lesu dan malap. Tiada tenaga untuk bergerak maju untuk mencapai sesuatu keberhasilan yang memberikan kepuasaan dan kebanggaan.
Kemalasan ini yang menjadi pendinding antara kita dengan kejayaan. Kemalasan inilah yang menjadi penghalang dan penjarak antara kita dengan hidayah dan kasih sayang Allah SWT. Dan mungkin kita tertanya-tanya daripada manakah datangnya kemalasan yang membekukan jiwa ini?
Jawapannya ialah nafsu! Nafsu yang berjaya menguasai, mengarahi dan menunggangi kita umpama hamba. Ada yang bertanya, apakah itu nafsu?
Nafsu itu adalah tempat berkumpulnya kekuatan amarah ( ajakan kepada kejahatan) dan syahwat (keinginan) dalam diri manusia. Disinilah terkumpulnya sifat-sifat tercela, buruk, jijik, kotor dan segala rupa amalan yang membawa kepada dosa dan maksiat.
Daripada nafsu inilah, timbulnya sifat mazmumah seperti hasad dengki, buruk sangka, pemarah, takbur, gila pujian, cintakan dunia, penakut dan juga sifat malas ini. Sifat ini harus dikikis, dirawat dan dibuang. Dalam rangka untuk menjadi hamba Allah SWT kita mestilah menguasai diri dan dapat mendidik diri sendiri. Ini ubat dan penawarnya. Dan kata murabbi (pendidik) saya :
“ Untuk menguasi diri dan mendidik hati kita, kita harus dekat dan mendampingi Al-Quran. Inilah rahsia yang dilakukan oleh para salaful soleh, ulama-ulama yang warak dan mukmin muslim yang tawaduk.”
Dekatilah Al-Quran dan bongkarkanlah rahsia yang terpendam di dalamnya. Berikan hak hati dan ruh untuk disinari dengan cahaya Al-Quran yang terang benderang. Tiada perkara yang mudah untuk bermujahadah melainkan kita perlukan kekuatan yang sebenar.
Dan, kekuatan kita sebenarnya adalah bersama Al-Quran! Dan ia bertambah kuat dan mengesani jiwa jika lantunan kalamullah ini dilantunkan di saat-saat penghujung malam yang kelam dan sunyi sepi tanpa suara.  Berusahalah dan bertekadlah dengan jiwamu yang membara :
“ Wahai jiwa, celakalah kalian – bantulah aku
Dengan bersungguh-sungguh dalam usahamu di gemerlapan malam
Mudah-mudahan kalian pada hari Kiamat,
Meraih kehidupan nan indah pesona,
Di puncak-puncak ketinggian (syurga).”
Justeru,– saya dapat simpulkan bahawa :
  • Mendisiplin diri dengan pembacaan Al-Quran setiap hari dengan istiqamah dan konsisten adalah suatu tuntutan yang besar buat kita semua. Kita harus sedari bahawa kita benar-benar berhajat kepada sentuhan Al-Quran.
  • Tarbiyah qur’aniyah harus diagendakan dalam jadual kehidupan seharian. Berapa muka yang perlu dihabiskan? Berapa ayat-ayat Al-Quran yang telah dihafal dan diulang-ulang?
  • Memperbetulkan tajwid, makhraj, bacaan dan kelancaran pembacaan secara serius dan tersusun. Ia dilihat dengan jiwa yang hidup, berhimmah dan benar-benar berkemahuan.
  • Murabbi, mengalakan dengan nada yang serius sekurang-kurang setiap daripada kami harus khatam Al-Quran setiap 3 bulan sekali. Ini paling minimum.
  • Bermula saat ini, setiap daripada kami harus belajar dan membaca tafsir Al-Quran sebagai pengukuhan pemahanam dan mendalami Islam. Justeru, murabbi mencadangkan Juzuk 30 Tafsir Fizilalil Quran karya As-Syahid Syed Qutb sebagai tafsir yang harus kami baca, fahami, hadam dan bumikan.( Masih banyak lagi tafsir yang boleh kita pelajari dan baca, antaranya ialah Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Azhar ( Hamka), Tafsir Imam Qurtubi, Tafsir Jalalain, Tafsir al-Manar (Muhammad Abduh) dan banyak lagi.)
  • Tanda kita mencintai Allah SWT ialah kita mencintai Al-Quran. Bagaimanakah sikap dan interaksi kita dengan Al-Quran? Terwujudkan perasaan yang istimewa antara kita dengan Al-Quran? Atau bagaimana?
  • Gunakan kemudahan teknologi untuk mewarnai kehidupan kita dengan Al-Quran. Kita boleh pasangkan MP3 Al-Quran bacaan Qari-qari ( Sheikh Abdul Basit, Sheikh Muhammad Rafit, Sheikh Mishary Rashed Alafasy dan lain-lain) yang kita minati melalui telefon bimbit, radio kereta, laptop peribadi, komputer dan apa jua alat elektronik yang ada.
  • Lazimikan dan warnailah kehidupan keluarga kita dengan Al-Quran. Hidupkanlah suasana membaca, mentadabur, menghafal dan mempelajari Al-Quran. Yakinlah keberkatan dan keharmonian akan memayungi rumah tangga kita dengan payungan kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman. InsyaAllah.
Mudahan-mudahan kita dapat berteduh di bawah payungan rahmat Allah SWT dalam keharuman biah (suasana) lantunan ayat-ayat cinta Al-Quranul Karim. Inilah asas kepada kebangkitan ruh, iaitu jiwa-jiwa dan hati-hati kita seronok untuk berdampingan dan dekat dengan ruh Al-Quranul Karim.
MasyaAllah!


BroHamzah of Langit Ilahi
__________________________________________________________________________________________________________________ © Langitilahi.com

0 comments:

Post a Comment