Pages

Sunday, March 27, 2011

TARBIYAHLAH DIRI DENGAN TAQWA



Kita sering mendengar perkataan taqwa. Hampir tiap minggu para khatib di mimbar-mimbar masjid memperingatkan jamaah yang bersolat juma'at agar selalu bertaqwa. Perkataan taqwa ini kerap difahami sebagai takut atau khasyyah. Kadangkala ia difahami sebagai suruhan melakukan segala jenis kebaikan. Pada waktu yang lain ia difahami sebagai perbuatan menghindari kemurkaan Allah. Demikianlah, berbagai pengertian dan makna yang difahami oleh kita mengenai perkataan taqwa. Dalam pengertian yang mudah difahami taqwa bolehlah kita ertikan sebagai melindungi diri dari maksiat dan menghindarkannya dari dosa.
Taqwa merupakan suatu bekalan yang sangat berguna kepada kita untuk mengemudi kehidupan di dunia ini agar tidak karam dalam lautan jahiliyyah. Tidak kira siapa kita, apa pangkat, apa jawatan ataupun status yang kita miliki. Taqwa perlu ada dalam kehidupan kerana taqwa adalah sebaik-baik bekal untuk berjaya sebagai hamba Allah.
Firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam”.
(Ali Imran : 102)
Pada peringkat permulaan dakwah, Nabi saw telah mentarbiyah sahabatnya dengan konsep takwa yang sebenar sehingga mereka menjadi suatu generasi yang unik dan telah berjaya menempah sejarah yang sangat gemilang buat tamadun Islam. Hasil dari tarbiyah inilah lahir individu-individu yang hebat seperti Saidina Abu Bakar as Siddiq, Saidina Umar al Khattab, Saidina Usman bin Affan, Saidina Ali bin abi Thalib dan sahabat-sahabat yang lain.
Baginda telah mengajar kepada umat ini bahawa pembinaan individu perlulah bermula dari dalam diri. Hasilnya akan terjelma dalam bentuk luaran yang kita kenal sebagai akhlak dan tingkah laku. Konsep ini disebut sebagai “inside to outside”. Pembinaan seperti inilah yang akan membentuk manusia itu menjadi seorang yang kuat dan cekal dalam menempuh halangan dan rintangan perjuangan. Semua halangan dan rintangan yang mereka hadapi dipandang kecil kerana mereka yakin bahawa Allah yang Maha Berkuasa terhadap segala-galanya.
Nabi SAW telah bersabda :
“Taqwa itu di sini...”
Baginda mengulangi ayat ini sebanyak tiga kali seraya menunjuk ke arah dadanya. Taqwa itu letaknya di hati manusia. Sudah menjadi lumrah kalau dalamnya itu baik insya-Allah luarnya pun akan baik sama. Adalah menjadi satu pembohongan yang besar sekiranya kita berpendapat sebaliknya.
Taqwa tidak dinilai dengan melihat pada kopiah, serban dan juga jubah. Atau pada labuhnya tudung dan purdah yang dipakai muslimat. Ataupun makan dengan menggunakan tiga jari...Kadang kala kita terserempak dengan manusia yang mempunyai ciri-ciri penampilan seperti ini tetapi malangnya akhlak dan tingkah laku mereka sangat keji.
Pembinaan yang bermula daripada penampilan luaran semata-mata bukanlah jaminan kepada taqwa atau tidak seseorang itu. Penampilan akan berubah-ubah mengikut masa dan keadaan. Akan tetapi sekiranya taqwa itu disemai dari dalam diri insya-Allah taqwa akan berkekalan.
Sebagai seorang da’ie perlulah difahami bahwa taqwa tidak dapat dicapai dengan hanya mengubah penampilan luaran mad’u semata-mata tanpa mengubah hati yang berada di dalam diri mereka.
“Dalam diri manusia hati merupakan raja manakala anggota yang lain itu merupakan rakyat. Sekiranya raja itu baik maka baiklah keseluruhan rakyatnya”.
Dalam mentarbiyah, kita mesti memberikan kefahaman yang benar kepada mad’u agar pembinaan mereka benar-benar menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh Rasulullah saw iaitu dengan “membangunkan konsep iman dan taqwa yang kuat dalam diri” .
Wahai da’ie...Kita perlu musahabah cara kita mentarbiyah mad’u. Mungkin berlaku kesilapan dalam kita mentarbiyah mereka. Kesilapan dalam mentarbiyah inilah yang akan melahirkan individu muslim yang belum benar-benar “solid” dan tidak menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan.
Firman Allah SWT :
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
(Al Hasyar : 18)
Hasil dari kesilapan ini kita akan menemui orang-orang yang konsisten menghadiri usrah mingguan tetapi masih belum berupaya meninggalkan tabiat “merokok” dan melakukan perkara-perkara yang “lagha”. Kadang kala kita terserempak dengan orang-orang yang baik penampilan luarannya, mereka memakai kopiah dan bertudung labuh tetapi tidak segan-segan mengaku yang mereka itu sedang “bercouple”. Kata mereka; kami “couple Islamic”...
Di antara kesilapan besar yang telah kita lakukan dalam mentarbiyah ialah :
Kita menyuruh mad’u “mengaji al Quran”, tetapi kita lupa menekankan bahawa mereka juga perlu “mengkaji ayat-ayat al Quran” yang telah mereka baca. Hasilnya lahir individu yang hanya pandai membaca Quran tetapi mereka gagal untuk memahami ajaran Islam yang sebenar. Mereka buta Islam!
Kita mewajibkan mad’u untuk menghadiri usrah mingguan tetapi kita lupa untuk memahamkan mereka tentang kepentingan usrah dalam kehidupan berjamaah. Hasilnya kita ada mad’u yang hanya istiqamah menghadiri usrah tetapi gagal dalam melakukan gerak kerja dakwah. Mereka sangat pasif dan hanya tunggu arahan baru mahu buat kerja.
Kita menyuruh mad’u “mendirikan solat” tetapi kita lupa untuk menekankan kepada mereka agar “memelihara solat” tersebut. Mendirikan solat bermaksud, solat bilamana kita mendengar azan atau telah masuk waktu manakala memelihara solat itu bermaksud melakukan solat diawal waktu, berusaha bersungguh-sungguh untuk khyusuk dan memelihara diri daripada perkara yang boleh membatalkan solat. Hasilnya kita dapati ramai mad’u yang istiqamah solat lima waktu tetapi malangnya solat itu gagal mencegah mereka dari perkara yang keji dan mungkar.
Itulah serba sedikit kesalahan kita dalam mentarbiyah. Sebenarnya banyak lagi yang perlu kita muhasabah dan rasanya tidak mampu untuk kita bentangkan kesemuanya dalam keterbatasan ruang dan waktu ini.
Akhirnya...
Segala permasalahan yang berlaku di dunia ini adalah berpunca daripada manusia. Untuk mengubah dunia ini kita perlu mengubah manusia itu terlebih dahulu dan untuk mengubah manusia itu kita perlu mengubah hati mereka. Untuk mengubah hati manusia tiada cara lain yang boleh digunakan melainkan kita menyemai rasa taqwa dalam diri agar timbul rasa cinta dan harap pada Sang Pencipta iaitu Allah Azza Wajalla...
Marilah kita sama-sama menilai sejauh mana tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Adakah diri kita telah benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT atau kita hanya pura-pura bertaqwa dengan menjaga penampilan luaran semata-mata. Ingatlah sahabat sekelian, bahawa Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha mendalam Ilmu-Nya.

0 comments:

Post a Comment