skip to main |
skip to sidebar
Nota dari Ustaz Shafi untuk Majlis Cinta Rasul:
Tamu Agung di Gubuk Usang
Tidak seperti biasa, setiap malam isteriku akan masuk ke kamar tidur lebih awal sedang aku masih lagi di kamar belajar untuk membaca buku atau menyiapkan kerja-kerja sekolah hingga jam 3 pagi. Tapi semalam (19 Februari 2011 bersamaan malam 17 Rabi'ulawal 1432H) se...dikit kelainan berlaku pada diriku.
Aku melihat jam di dapur baru pukul 10 malam tapi kenapa mataku sudah tidak tertahan, aku cuba melawan tapi tidak berdaya. Badanku makin lemah dan mataku tidak mau bersahabat lagi denganku. Aaahhh ngantuknya…!! Lebih baik aku ambil wudhu dan solat kemudian selesaikan selawat sebelum tidur. Memang setiap hari aku akan pastikan di rumahku harus ada 1000 selawat di waktu pagi dan 1000 selawat di waktu malam. Mulut semakin tak henti menguap, mata makin berat untuk dibuka.
Aku masuk ke kamar tidur jam 11 malam, entah kenapa malam ini aku pindah posisi tidurku dengan kepalaku menghadap kiblat. Sudah 7 tahun aku tinggal di gubuk usang ini belum pernah aku tidur dengan posisi itu di tempat tidurku sendiri.
Orang ngantuk disorongkan bantal aku langsung terlelap. Tiba-tiba aku mendengar suara isteriku melirih dan menangis dengan kuat mengucapkan "Assalamu'alaika Ya Rasulallah". Seketika ruang tamu hingga ke kamar tidurku menjadi terang bercahaya, "Ya ALLAH... Rasulullah datang...!!! Selepas beberapa kali aku mengucapkan salam kepada Rasul yang begitu indah bersih bercahaya dengan tubuh Baginda yang tegap sepertinya rumahku begitu rendah berbanding dengan tubuh Rasul. Aku langsung memohon maaf kepada Baginda kerana tidak sempat mengemas rumah yang lagi berserakan dan kotor untuk menyambut kehadirannya. Lama juga Rasul berdiri, memasuki ruang tidurku, menyapa dan melontarkan senyum manisnya untuk kami. Isteriku tidak tertahan melihat Rasulullah, tubuhnya kaku dan tangannya kejong sambil melirih menangis menyampaikan salam kepada Rasulullah hingga Baginda membelai menenangkannya. Aku langsung menyuruh isteriku hidupkan lampu ruang tamu dan diwaktu itulah Rasul memohon pamit untuk beredar dan kami berdua menghantar Rasul ke pintu depan. Ketika isteriku ingin menghidupkan lampu, dengan sepantas kilat gemerlapnya cahaya yang meliputi Rasul hilang di depan mata kami. Sambil melirih menangis menyampaikan salam kepada Baginda Rasul yang sudi bertamu di gubuk usang kami, isteriku meraung sekuatnya dan membuat aku terjaga dari tidur ku. "Ya ALLAH aku bermimpi rupanya...!!!" Kamar tidurku masih bercahaya dan aku melihat isteriku masih tidur sambil terisak-isak dengan tangisan memberi salam kepada Rasulullah.
Aku yakin isteriku bermimpi sama denganku. Ternyata dugaanku benar setelah aku bertanya kepadanya, "Ummi semalam mimpi Rasul?" Lalu dia ceritakan dengan tangisan dan sebak di dada sama seperti yang aku mimpikan. Subhanallah walHamdulillah dua insan yang kotor dan penuh noda bermimpi baginda Rasul s.a.w. pada waktu dan tempat yang sama. Terima kasih Rasulullah kerana sudi berkunjung ke gubuk usang kami.
Kepada teman-teman perbanyakkan selawat moga rumah kita dipenuhi Cahaya Cinta Rasul s.a.w.
اللهم صل وسلم وبارك على حبيبك المصطفى وآله وصحبه أجمعين
Shafi Barakbah & Hartati Wahid
Ahad, 20 Februari 2011
0 comments:
Post a Comment