Pages

Friday, March 25, 2011

Mari bermimpikan syurga

Syurga itu indah, penuh nikmat dan tidak terbayang oleh manusia. Dunia yang mempesonakan ini, nikmatnya hanya sekelumit sahaja berbanding syurga yang hebat tiada tara. Syurga : Motivasi para pejuang Islam zaman berzaman.
Mari bermimpikan syurga
Oleh : BroHamzah
Semasa kecil, emak saya selalu menyebut tentang syurga. Konsep syurga dan neraka diterapkan diusia muda lagi. Sehingga, tertanam dalam jiwa saya bahawa syurga itu sesuatu yang tinggi, mulia dan sangat mahal.
“ Jika hendak masuk syurga, Ali kena jadi anak soleh”
“ Syurga ini, adalah tempat yang indah dan semua orang hajat masuk syurga.”
“ Kalau hendak syurga, perlu jaga solat.”

Mendidik diri dengan cita-cita yang tinggi, terulung dan penuh kenikmatan adalah satu perkara yang ditekankan dalam tarbiyah Islamiyah.
Ya.
Rasulullah SAW mendidik kita untuk sentiasa berhajatkan sesuatu yang hebat, tinggi dan mulia.
Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda :
“ Apabila kalian memohon kepada Allah SWT maka mohonlah kepada-Nya syurga Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus adalah syurga yang paling baik dan yang paling tinggi. Di atasnya adalah ‘Arasy dan daripadanya memancar sungai-sungai syurga.” [1]
Suatu tempat yang mulia, bersih dan suci. Malah, ia adalah tempat yang sangat istimewa, unik dan menjadi impian semua insan.
Tidakkah anda menyimpan impian untuk menjejaki syurga? Syurga yang sentiasa digambarkan di dalam Al-Quran dengan tawaran ganjaran, hadiah pemberian dan anugerah yang tiada tara bandingannya.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud :
“ Allah berfirman : “ Aku telah mempersiapakan syurga bagi hamba-hambaKu yang soleh apa yang mata belum melihat, telinga yang belum mendengar dan tidak terdetik di dalam hati manusia.” [2]
Sekarang kita bayangkanlah syurga! Bayangkan rupa dan bentuknya. Gambarkan suasana dan persekitarannya. Bayangkan yang terindah. Tetapi, itu belum lagi syurga.
Kita bayangkan bangunan-bangunan yang tercantik dan terindah di dunia. Kemewahannya, keunikan ukirannya, kecanggihan rekaan dan keindahan perhiasaannya.
Kita bebas dan berupaya mengambarkannya. Namun, ketahuilah syurga itu lebih indah. Pernah satu ketika, para sahabat bertanyakan tentang syurga kepada Rasulullah SAW.
Mereka bertanya, “ Wahai Rasul, ceritakanlah kepada kami bangunan syurga.” Nabi berkata, “ Batu batanya dari emas, batu batanya dari perak dan tanah litany dari kasturi yang amat wangi..” [3]


Bayangkan. MasyaAllah. Indahnya syurga. Bergetar saya mengambarkannya. MasyaAllah. Sahabat sekalian, minyak kasturi adalah minyak yang paling murni dan indah daripada minyak wangi yang ada diseluruh dunia. Bayangkan, bayangkan dan bayangkan.
Betapa harumnya syurga.
Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud : “ Tidaklah pohon di syurga itu kecuali batangnya dari emas.” [4]
Bayangkan, bercahaya – berkilauan – bersinar – dan warna-warni!. Di syurga tidak ada malam dan siang, tidak juga matahari dan bulan. Tetapi cahaya Allah yang menerangi syurga secara langsung. MasyaAllah.
Cinta di Syurga – Ia mengasyikan
Perasaan ingin dimiliki, dicintai dan mencintai telah menjadi fitrah manusia. Bayangkan saat-saat kita berada dalam buaian detik-detik terindah bersama cinta.
Keharumannya, keindahannya, keseronokannya, kenikmatannya dan segala-segalanya penuh kemanisan yang tidak terungkap oleh bicara kata.
Inilah kebahagiaan. Ramai yang mencari kebahagiaan – sehingga sanggup mengorbankan dunia, maruah, harga diri dan kehormatannya. Bagi saya, orang yang mencari kebahagiaan dan cinta di dunia, ia tidak akan menemukan di alam fana itu – tetapi ia akan menemukannya di syurga.
Ya. Di syurga.
Di sinilah terukir cinta yang sebenarnya. Cinta yang membuahkan kenikmatan yang mendamaikan. Mencipta kebahagiaan yang sebenarnya.
Bahagia yang hakiki. Bahagia yang sejati. Bahagia yang benar-benar ori.
Jangan tertipu dengan khayalan cerita-cerita romantika cinta dan kisah-kisah mabuk kasih – kerana ia tidak pernah ada di dunia.
Kita hanya akan menemukannya di syurga.
Siapakah mereka itu? Adakah bidadari syurga atau wanita dunia?
Isteri saya ada berkata , dia sangat cemburu dengan bidadari syurga. Saya tersenyum sahaja. Kerana apa? Mungkin bidadari syurga itu begitu cantik, menarik dan menawan. Namun menurut ulama wanita dunia yang masuk syurga itu lebih cantik daripada bidadari syurga. Malah, wanita solehah akan di”transfer” menjadi ketua bidadari di syurga.
Bukan itu sangat mengujakan anda, wahai wanita-wanita sekalian?
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung Dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan. Penuh cinta lagi sebaya umurnya.”
( Al-Waqiah : 35-37)
Ibnul Qayyim RA berkata : “ Jika ia memasuki istananya – yakni wanita penghuni syurga dari penduduk dunia – segala sesuatu di syurga menjadi terang, dan jika ia berbicara dengan suaminya, suaminya akan terbuai hingga lupa pada syurga, dan terpaut dengan isterinya.” [5]
Justeru, bagi lelaki sekalian tingkatkan kualiti dan amalan diri agar kita benar-benar bersih untuk memasuki syurga.
Bagi wanita, anda punyai banyak ruang, kesempatan dan ruang untuk menjadi ketua bidadari yang sangat mempesonakan, indah senyumannya dan mengasyikan di syurga kelak. Lengkapilah keperibadian anda dengan ciri-ciri wanita solehah.
Agar kita dapat merayakan cinta di syurga bersama pasangan hidup masing-masing. Bercinta bukan terbatas di dunia, tetapi bercinta sehingga ke syurga.
Alangkah nikmatnya, syurga!
Saya sangat terkesan dengan hadis Rasulullah SAW ini apabila menceritakan tentang penghuni syurga, kata nabi :
“ Hati mereka berada dalam hati yang satu, mereka tiada berselisih dan tiada saling membenci.” [6]
Anugerah terindah – Melihat Allah SWT
Ada satu kenikmatan yang tertinggi dan tiada bandingan kenikmatan. Nikmat yang didambakan oleh semua insan soleh.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Dan tidaklah mereka diberikan – yakni, di syurga – sesuatu yang lebih mereka sukai dari melihat Tuhan mereka.” [7]
Seringkali saya sebak apabila membayangkan hal ini. Layakkah aku untuk menatap keindahan dzat Allah SWT? Saya sedar bukan semua orang berkemampuan dan berkeupayaan untuk melihat Allah SWT, dengan izin-Nya.
Suhaib RA meriwayatkan Rasulullah SAW pernahmembaca ayat Al-Quran daripada surah Yunus, ayat 26. Maksudnya :
“  Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.”
( Yunus : 26)
Lalu baginda berkata :
“ Jika penghuni syurga telah memasuki syurga dan penghuni neraka telah memasuki neraka, maka ada penyeru yang menyeru, “ Wahai penghuni syurga, kalian memiliki janji daripada Allah SWT, Dia ingin kalian menyelesaikannya.”
Mereka bertanya, “ Apa kah itu?. Bukankah Dia telah memberatkan timbangan kami, memutihkan wajah kami, memasukan kami ke syurga, dan menarik kami dari neraka?.”
Baginda berkata :
“ Maka dibukakan tirai atau hijab dan mereka melihat-Nya.”
Lalu baginda bersabda : “ Maka Demi Allah, tiadalah Dia memberi mereka yang lebih mereka sukai dan tiada yang lebih menyejukan mata mereka dari melihat-Nya.” [8]
MasyaAllah. MasyaAllah.MasyaAllah.
Kerana inilah Rasulullah SAW, sentiasa berdoa yang bermaksud :
“ Ya Allah, aku meminta pada-Mu kelazatan melihat wajah-Mu dan rindu bertemu dengan-Mu.” [9]
Rasulullah SAW yang terpelihara daripada dosa. Maksum bahkan sentiasa memelihara jiwa, hati dan perasaannya daripada perkara mungkar – tidak putus-putus berdoa untuk menatap wajah Allah SWT tanpa jemu dan bosan.
Bagaimana dengan kita?
Apa perasaan anda saat ini? Apa yang terdetik jauh di sanubari anda?
Kita tanya diri, tanya hati dan tanya iman sendiri!
Perbanyakanlah bermimpikan dan mengkhayalkan syurga

Tika lemah, hilang segala semangat malah dihujani pelbagai perasaan kekecewaan dan keputus asaan. Bayangkanlah syurga dan khayalkanlah kenikmatannya.
Ketahuilah, ia termasuk dalam perkara yang dapat menguatkan hati, kemahuan dan himmah diri kita. Saat ujian dunia menghimpit diri dan membuatkan terasa begitu tersempit – maka impikanlah syurga.
InsyaAllah – ia akan mengubat rasa tusukan ujian, cabaran dan dugaan dunia yang memeritkan serta memenatkan. Saat ditimpa musibah, kegagalan dan kenistaan – bermimpikanlah syurga. Yakinlah janji-janji Allah SWT bagi mereka-mereka yang beriman, bersabar dan beramal soleh.
Inilah pujukan dan motivasi yang sangat baik bagi diri kita. Pujukan untuk membangkitkan rasa keghairahan dalam beramal soleh dan menyebarkan aroma kebaikan ke seluruh dunia.
Saya terbaca satu ungkap yang menyentak hati, jiwa dan perasaan apabila membaca buku Amru Khalid. Beliau menulis :
“ Syurga hanya untuk yang bebas maksiat!”
Allah!
Saya bagaikan terpukul dan digoncangkan perasaan saya. Membayangkan kekerdilan diri dan rasa kelemahan yang dilazimi dengan kesalahan, kesilapan, dosa dan maksiat.
Syurga, katanya.
Diciptakan bagi mereka yang benar-benar bersih. Malah, penghuni syurga tiada perasaan dendam dan dengki pada orang lain, lemah lembut dan ahli syurga itu benar-benar suci daripada dosa!
Jadi bagaimana?
Inilah Maha Adil dan Maha Sucinya Allah SWT. Allah menyediakan terminal atau stesen penyucian diri untuk kita. Medan untuk menyucikan diri. Katanya Amru Khalid –  terminal penyucian ini  terbahagi di dunia, kubur dan akhirat.
4 di dunia , 3 di kubur
Dan 4 di akhirat
Apakah terminal-terminal penyucian ini? Nantikan perkongsian seterusnya dalam ruangan himmah. Kita melihat cara untuk menyuci diri agar, himmah dan semangat diri mampu dibangkitkan semula agar kita terus bergerak untuk menjadi hamba Rabbani. InsyaAllah.
————————————————————————————-
[1] Hadis diriwayatkan oleh Bukhari.
[2] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
[3] Hadis riwayat At-Tirmidzi dan Imam Ahmad
[4] Hadis riwayat At- Tirmidzi
[5] Amru Khalid, Hati Sebening Mata Air (2006), Aqwam – Judul Asal : Islah Qulub
[6] Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
[7] Hadis Riwayat Muslim
[8] Hadis Riwayat Muslim, Imam Ahmad dan At-Tirmidzi
___________________________________________________________________________________________________________________
© Langitilahi.com

0 comments:

Post a Comment