Bersujud syukur setiap hamba Allah yang menghargai sebuah keadilan.
Keadilan yang menjadi tunggak sesebuah kuasa. Mengkhianatinya akan mengheret kejatuhan sebagai hukum Alam sebelum hukum Agama.
Tanggal bersejarah 11 Februari ’11, Omar Suleiman membuat pengumuman perletakan jawatan Presiden Republik Arab Mesir ketiga, Muhammad Hosni Sayyid Mubarak selepas tiga dekad pemerintahannya.
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Aal 'Imraan 3: 26]
18 hari rakyat Mesir berhimpun di Dataran Merdeka Kaherah, tegas dengan satu tuntutan.Pelbagai insentif ditawarkan oleh Hosni Mubarak, memecat kabinet dan melantik Perdana Menteri yang baru, malah buat pertama kalinya mewujudkan jawatan Timbalan Presiden yang disandang oleh anak didik CIA kesayangannya, Omar Suleiman, segalanya ditolak dengan aman oleh seluruh rakyat. Mereka hanya mahukan satu.
Hosni Mubarak meletakkan jawatan!
Tidak berganjak walaupun sedikit, selepas buat pertama kalinya umat Islam di Mesir bersolat Jumaat dengan 2 juta makmum dan satu imam, malam yang bersejarah ini, melaporkan bahawa Hosni Mubarak meninggalkan Kaherah dan beredar ke Sharm Sheikh di Sinai, dan Omar Suleiman mengumumkan perletakan jawatan Taghut besar itu.
Moga tertebus kepedihan yang ditanggung oleh rakyat yang diseksa.
Moga terubat tahanan-tahanan pendapat (prisoners of opinion) di penjara Mesir.
Moga sembuh al-Azhar daripada campur tangan regim.
Moga terbuka jalan pulang Sheikh Yusuf al-Qaradhawi ke bumi Kinanah.
Moga terawat kerinduan Sheikh Kamal Helbawi yang lama berkelana di bumi Eropah.
Moga sirna kepungan derita umat di Gaza dan Palestin.
Moga bermakna 12 Februari 2011 pada mengenang terbunuhnya pengasas al-Ikhwan al-Muslimin, Hassan al-Banna pada 12 Februari 1949.
Segalanya, ameen untuk semua itu!
TELADAN REVOLUSI TUNISIA
Mesir mengambil teladan yang amat penting daripada mesej yang dilontarkan oleh Revolusi Tunisia.
Sheikh Rashid Ghanushi, pemimpin al-Nahdhah yang kembali ke tanah air selepas 20 tahun dalam buangan, memberikan pendapat bahawa sebuah revolusi rakyat tidak boleh berlaku jika ada mana-mana parti yang cuba mendominasinya dengan slogan masing-masing. Seluruh rakyat mesti bersatu pada menuntut pengunduran regim zalim yang memerintah. Ia mesti bersifat gerakan rakyat. Bukan an-Nahdhah, bukan mana-mana parti.
Itulah wajah Revolusi Mesir.
Ia tidak didominasi oleh mana-mana parti, tidak juga oleh mana-mana pemimpin pembangkang.
Ia benar-benar sarat membawa kehendak seluruh rakyat yang menderita membayar 7 Pound untuk sebotol susu, ketika Presiden menghimpun harta mencecah USD70 billion, biar pun dia hanya manusia biasa yang kapasitinya mampu makan sekeping roti setiap pagi. Rakus, tamak dan kejam, rakyat sudah memainkan peranannya.
Al-Ikhwan al-Muslimun tidak bersikap simplistik pada membayangkan perjuangannya sebagai pengisi kekosongan yang berjaya diperolehi.
Mohamed Mustafa El-Baradei juga tidak memposisikan dirinya sebagai pemimpin rakyat Mesir pasca pengunduran Hosni Mubarak.
Justeru apakah masa depan Mesir?
Sumber : Saifulislam.com
0 comments:
Post a Comment